Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Di Malaysia, pengguguran janin adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan (pindaan – 1997). Walau bagaimanapun, fasal pengecualian telah ditambah kepada Seksyen 312, seorang pakar perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh menamatkan kehamilan seorang wanita jika kehamilan itu diteruskan boleh meningkatkan risiko kepada nyawa wanita tersebut, atau membawa kemudaratan yang lebih besar kepada kesihatan mental atau fizikal jika tidak digugurkan. Namun di bawah Seksyen 314 Kanun Keseksaan menunjukkan bahawa jika proses pengguguran janin ini telah membawa kepada kematian ibu, ianya akan menjadi satu kesalahan jenayah.
